JOHOR BAHRU: Lebih 3,000 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan ‘The Greater Johor Bahru (JB)’ dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi inisiatif Johor Safe City.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, inisiatif itu bagi memperkukuhkan lagi infrastruktur digital di negeri ini selain memperkemaskan pemantauan lalu-lintas dan jenayah.
Katanya, inisiatif itu termasuk dalam kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkukuhkan infrastruktur digital di negeri ini.
“Dalam perancangan, kita cadang tambah CCTV sehingga 3,000 unit untuk MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru), 110 unit di MPKu (Majlis Perbandaran Kulai) dan 500 unit di MBIP (Majlis Bandaraya Iskandar Puteri).
“Kita akan lihat semula pecahan ini dalam mesyuarat teknikal secara berfasa termasuk untuk Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Perancangan ini yang kita masukkan sekali dalam MoU,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan SKMM di Menara MBJB, di sini semalam.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menyaksikan majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kerjasama strategik kerajaan negeri dengan SKMM itu bertujuan memperkukuhkan infrastruktur digital, memperluaskan liputan rangkaian internet serta meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital.
Menurut Mohamad Fazli, pada masa ini kawasan ‘The Greater JB’ mempunyai 1,251 CCTV yang digunakan untuk mengawal lalu-lintas dan membantu memantau kegiatan jenayah.
Katanya, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti 1,169 lokasi ‘hotspot’ kawasan industri yang akan diberi tumpuan, terutamanya yang berada di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menambah baik infrastruktur digital khususnya menaik taraf liputan rangkaian internet daripada 4G kepada 5G.
“Untuk makluman, liputan 4G kita sudah capai 99.9 peratus tetapi bagi 5G secara keseluruhan berada pada tahap 84 peratus. Jadi, menerusi MoU ini, kita akan tingkatkan capaian 5G secara berfasa,” katanya. – UTUSAN