KOTA BHARU: Lebih 30 buah kenderaan Thailand dikesan menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dan melanggar peraturan pemasangan cermin gelap menerusi Op Tunggak di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, pemantauan sedang dilaksanakan dan usaha menahan kenderaan sedang giat dilakukan.
“Kebanyakan kenderaan ini dikesan masuk ke negeri ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang selain Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Jeli).
“Bagaimanapun, kami (JPJ Kelantan) mempunyai masalah apabila pintu sempadan berada di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Jadi, kami terpaksa membuat kawalan serta pemantauan di luar ICQS,” katanya pada majlis penutup Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Akademi JPJ Wilayah Timur di sini, malam tadi.
Mohd. Misuari berkata,, hasil operasi yang dilakukan sebelum ini mendapati kenderaan tersebut membawa pekerja atau penumpang bagi urusan tertentu termasuk mengangkut mereka pulang ke Thailand.
Sementara itu, beliau berkata, JPJ Kelantan mengeluarkan sebanyak 2,941 notis saman kepada 1,759 buah kenderaan sepanjang Op HRA 2025 bermula 24 Mac lalu hingga semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, 2,249 melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans manakala selebihnya notis saman Larangan Penggunaan Kenderaan (239), Notis Arah Periksa Kenderaan (231) dan Penahanan Kenderaan (15).
“Sepanjang tempoh itu, 8,370 buah kenderaan diperiksa dan empat disita. Jumlah saman yang dikeluarkan pada Op Khas HRA 2025 menurun berbanding 10,639 notis saman untuk tempoh sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN