ALOR GAJAH: Suasana di Kampung Air Lanjut, Kelemak di sini gempar semalam apabila lebih 10 ekor lembu ditemui mati bergelimpangan dipercayai diracun dalam kejadian yang tular dalam media sosial, sejak pagi tadi.
Klip video berdurasi 19 saat yang memaparkan haiwan ternakan itu terbaring kaku mengundang pelbagai reaksi netizen, malah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penternak dan penduduk setempat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kelemak Jaya, Abd Karim Abu Bakar, kejadian itu disedari penduduk kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.
“Setakat ini, lebih 10 ekor lembu telah disahkan mati dan tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak. Saya ingin mengingatkan penternak supaya kawal haiwan masing-masing. Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang lagi,” katanya.
Abd. Karim turut menasihatkan semua penternak agar lebih bertanggungjawab dan memastikan ternakan mereka tidak berkeliaran sehingga mengganggu kawasan kebun atau ladang milik orang lain.
“Pemilik kebun pula jangan bertindak terburu-buru atau mengambil undang-undang dengan tangan sendiri. Jika berlaku kerosakan, buat aduan kepada pihak berwajib, bukan bertindak melulu hingga sanggup membunuh haiwan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya belum menerima apa-apa laporan berhubung kejadian.
“Saya telah meminta pegawai ke lokasi bagi menyiasat kejadian tersebut yang turut tular dalam media sosial,” katanya.-UTUSAN