Laporan urin belum diperolehi, Along Cham lantik peguam baharu - Utusan Malaysia

Laporan urin belum diperolehi, Along Cham lantik peguam baharu

SEPANG 7 APRIL 2025 - Pelakon dan pelawak, Along Cham ketika hadir bagi sebutan semula kes atas tiga pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan dadah jenis kanabis di Mahkamah Majistret Sepang, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : HUSNI (UTUSAN) / HAIKAL (KOSMO)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes pelakon dan pelawak, Along Cham.

Tetapan tarikh itu adalah bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Ketika prosiding di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, pihak pendakwaan juga diarahkan untuk menyerahkan dokumen laporan urin pada tarikh berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili Along, Zaleha Al Hayat, buat masa ini hanya dua dokumen sahaja baru diserahkan pihak pendakwaan.

“Sebentar tadi kita sudah terima dokumen dari pihak pendakwaan bagi kes Seksyen 39A (1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tetapi pihak pendakwaan masih belum menyerahkan dokumen bagi kes urin. Maka pada 24 April ini ditetapkan sebagai sebutan bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen bagi kes urin.

“Saya percaya dokumen bagi kes urin akan diserahkan pada tarikh akan datang dan kami pihak pembelaan akan meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan. Itu saja,” katanya yang ditemui di Mahkamah Majistret, di sini, tengah hari tadi.

Mengikut pertuduhan, Along didakwa atas satu pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Pelawak itu dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain kes tersebut, Along turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu dakwaan memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamudin Ahmad berkata dia hanya memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik buatnya.

Dalam masa sama, pelakon filem Tiada Tajuk dan Hantu Kuat Ketawa itu mengakui pihaknya turut menukar peguam dengan mendapat persetujuan keluarganya.

“Sebelum ini saya sudah memaklumkan ke pihak mahkamah dan pertukaran ini juga atas persetujuan keluarga saya sebab tiada salah pun tukar sebab kita mencari yang terbaik.

“Peguam terdahulu Syed Yusuf Syed Zaid adalah adik ipar saya jadi tiada masalah pun,” katanya yang ditemani ibu, Siti Habsah Kadir, 64.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya