KAJANG : Lans koperal ditemukan meninggal dunia di kediaman sewanya di sebuah pangsapuri di Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam.
Mayat berusia 37 tahun dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu ditemukan rakan setugasnya selepas dikatakan tidak hadir bekerja.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada anggota polis yang juga rakan setugasnya berusia 20 tahun pada pukul 11.59 pagi.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil ke lokasi bagi bantuan membuka pintu rumah.
“Hasil pemeriksaan menemukan anggota itu tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Kajang yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan punca kematiannya disebabkan saluran jantung tersumbat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Zharif Shah Ab Rashid di talian 012-5925390 atau tampil ke Balai Polis Kajang untuk membantu siasatan.-UTUSAN