KANGAR: Kesalahan melanggar lampu isyarat dan memotong garisan berkembar paling banyak dikesan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di negeri Perlis.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, dua jenis kesalahan itu antara yang banyak dilaporkan oleh orang awam melalui aplikasi MyJPJ menerusi ruangan e-Aduan@JPJ sepanjang tempoh operasi dari 24 Mac hingga 8 April.
Katanya, sebanyak enam aduan diterima sepanjang operasi termasuk empat kes masing-masing memotong garisan berkembar dan gagal patuhi lampu isyarat merah manakala satu kes lagi membabitkan potong barisan serta satu kes nombor pendaftaran tidak ikut peraturan.
“Sebanyak 8,591 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi melibatkan pelbagai kategori kenderaan termasuk kenderaan perdagangan dan bas ekspres,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Noraini, daripada jumlah itu, sebanyak 521 buah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dan 1,341 notis dikeluarkan oleh JPJ Perlis.
“Bagi kenderaan perdagangan, sebanyak 2,232 buah diperiksa dan 77 buah diambil tindakan dengan 224 notis dikeluarkan. JPJ turut menjalankan pemeriksaan terhadap 204 buah bas ekspres di terminal utama negeri ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehgunaan teknikal kenderaan tersebut berada pada tahap optimum,” katanya.
Dalam operasi penyamaran oleh anggota JPJ sebagai penumpang bas pula, lapan buah bas telah dinaiki dan tiada sebarang kesalahan dikesan sepanjang pemantauan dilakukan. – UTUSAN