IPOH: Buat pertama kalinya lafaz ikrar Rukun Negara akan dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang berlangsung dari 15 hingga 22 April depan.
Keputusan itu bakal mengikuti langkah Dewan Rakyat yang telah memulakan lafaz ikrar Rukun Negara pada Februari 2024.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choi Tsi Jen berkata, lafaz ikrar itu akan dibuat pada 16 April 2025 dan diketuai oleh Setiausaha Dewan.
“Bermula tahun ini, lafaz ikrar Rukun Negara akan dilafaz pada Persidangan Pertama bagi setiap Mesyuarat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini berkata, lafaz ikrar di Dewan Rakyat adalah usaha memupuk semangat perpaduan dan menghakis kebencian serta rasis dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu Jenny berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan untuk mencemar duli berangkat ke istiadat
pembukaan rasmi persidangan DUN dan akan menzahirkan Titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri yang Ke-15.
Tambahnya, usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran Titah Diraja Sultan Perak akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar pada 16 April.
Katanya, seramai 45 Ahli DUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul tersebut iaitu 19 daripada kerajaan termasuk penyokong kerajaan dan 26 pembangkang termasuk Ketua Pembangkang.
“Tempoh masa perbahasan kepada penyokong kerajaan dan juga Ketua Pembangkang adalah selama 45 minit bagi setiap seorang. Manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 20 minit sahaja,” katanya. – UTUSAN