Sejak ditayangkan tiga hari lalu, filem Blood Brothers: Bara Naga terus menjadi bahan bualan sehingga dinobatkan sebagai filem aksi Malaysia paling hebat pernah dihasilkan. Tidak hanya Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle yang menjadi bahan perbincangan tetapi karakter Pablo, lakonan Andy Teh turut mencuri perhatian dengan deretan aksi berbeza dan mengesankan di hadapan layar.
Nama Andy mungkin masih belum heboh dicanang, namun sudah pun menjadi perhatian dan rebutan penerbit dan pengarah filem-filem aksi di Malaysia. Dengan pengalaman 20 tahun dalam bidang seni bela diri dan terlibat dalam 100 pertarungan meletakkan Andy Teh sebagai antara pelakon aksi Malaysia paling menonjol masa kini.
Dengan kepercayaan penonton terhadap kualiti filem aksi negara, kita dapatkan Andy Teh bercerita mengenai kebajikan pelakon aksi dan lagak ngeri di tanah air sendiri. Jawanlah Andy!
Bagaimana awak melihat perubahan kualiti aksi dalam filem-filem di Malaysia?
Kita ada banyak adegan pertarungan berkumpulan atau ‘gang fight’ tapi kebanyakannya hanya menjerit-jerit walaupun ada koreografi. Tembak-menembak juga bergantung kepada cara pergerakan kamera.
Blood Brothers memberikan kita standard baharu filem aksi di Malaysia, bagi saya koreografi, pergerakan kamera juga perlu diberikan pujian. Sebab itu setiap pelakon perlu latihan selama berbulan-bulan sebelum turut ke set.
Untuk menjaga kualiti filem aksi, awak rasa apa yang kita perlukan?
Kalau saya boleh memberikan sedikit nasihat, sangat harap pelakon-pelakon kita ada memiliki asas pertahanan diri sebelum melakukan naskhah aksi. Bila ada asas ditambah pula dengan pengetahuan koreografi, pelakon akan selesa selain melindungi mereka daripada sebagai kecederaan serius.
Ramai yang tiada asas, masuk ke dalam set penggambaran tidak boleh nak hidupkan adegan. Saya beri contoh adegan tumbuk, kita akan lakukannya berkali-kali. Bayangkan apa akan terjadi jika tubuh pelakon tidak bersedia. Apa yang penting ialah stamina juga ketahanan otot.
Daripada pemerhatian Andy, bagaimana kuantiti dan kualiti pelakon aksi di Malaysia hari ini?
Saya tidak berani komen terlalu banyak tapi ada yang bagus dari segi kemahiran berlawan mereka. Bertumbuk ramai boleh buat, tapi tidak ramai pelakon kita ada kemahiran menggunakan senjata dan tendangan. Senjata seperti pisau pendek lebih sukar kerana ia jarak dekat. Cuma kalau boleh berikan nama, saya rasa Beto Kusyairy dan Hairul Azreen adalah pelakon aksi yang baik di Malaysia. Saya teringin bekerjasama dengan mereka.
Dengan kebangkitan filem aksi di Malaysia, bagaimana awak melihat pasukan pelakon lagak ngeri (stunt team) yang selalu diketepikan?
Selalu kita tengok pelakon itu buat aksi gempak, tapi sebenarnya pelakon stunt yang buat mereka begitu. Gaji mereka bukan tinggi tapi bila-bila masa sahaja boleh mengakibatkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.
Saya dan Hun Haqeem menubuhkan gim Elitez Mont Kiara dengan tujuan mahu mewujudkan stunt team sendiri. Kami latih beberapa artis seperti Amelia Henderson, keluarga Hairul Azreen, Ikmal Amry dan ramai lagi. Pasukan stunt perlu ada latihan kerana pengalaman saya, ada yang tidak bersedia.
Adakah sudah masanya kita perlu ada prosedur khusus pemilihan stunt team demi keselamatan dan kebajikan mereka?
Saya pernah berhadapan situasi di mana seorang stunt ini kita suruh buat ‘flip’, dia tak boleh buat. Tapi mahu masuk dalam set untuk terlibat penggambaran walau tiada kemahiran khusus. Ia bahaya.
Begitu juga produksi, saya pernah menjadi stunt di satu drama. Saya kena lompat tebing. Tapi produksi tak sediakan bomba atau pasukan perubatan di set. Kalau ada kecederaan, barulah mereka nak telefon dapatkan bantuan dan pelakon stunt kena tahan sakit lebih lama.
Kita juga tiada persatuan khusus untuk merangka lebih teliti kebajikan stunt team. Mungkin di masa hadapan saya boleh melihat perkara ini lebih teliti memandangkan saya kini dalam timbalan presiden Persatuan Mixed Martial Arts Malaysia.
Saya dengar awak pernah berlatih dengan stuntman dari Hollywood, boleh ceritakan sikit?
Saya sebenarnya ada berhubung dengan beberapa stuntman contohnya Sky Fay yang kini menjadi stuntman di Hollywood. Dia datang sini beberapa bulan lepas ada beberapa perkongsian. Apa yang dia tunjukkan saya boleh buat, cuma ada teknikal yang perlu kita perhatikan. Begitu juga Yayan Ruhian, suka berkongsi pengalaman yang cerita pasukan stunt team di Hollywood dilayan sama besar dengan bintang utama di set. Saya pun mengintai peluang menjadi pelakon aksi di Hollywood.
Apa aksi besar yang teringin awak lakukan?
Ada satu adegan dalam Mission Impossible di mana Tom Cruise naik motor dan terjun ke dalam gaung dan naik paracut. Begitu juga Jackie Chan. Saya nak buat itu. Aksi luar negara boleh tahap begitu kerana industri mereka sudah bersedia dengan SOP keselamatan. Begitu juga dengan penontonnya yang menghargai adegan begitu. Penghargaan itu sayangnya masih kurang di Malaysia.