SUBANG JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan pasukan bantuan psikologi kepada pelajar universiti yang terkesan dengan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya juga telah menghantar pasukan KPT ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membantu mangsa di sini.
“Pasukan di bawah KPT melibatkan kumpulan perubatan dalam kalangan universiti yang mempunyai hospital termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah digerakkan untuk memberi bantuan perubatan kepada mangsa di sini.
“KPT turut menghantar kumpulan psikologi yang terdiri daripada kaunselor untuk merawat mangsa yang mempunyai trauma terhadap tragedi yang menimpa mangsa”, katanya ketika ditemui di PPS Masjid Putra Height, hari ini.
Tambah Zambry, bantuan psikologi tersebut bukan hanya diberikan kepada golongan dewasa, tetapi turut diberikan kepada kanak-kanak dengan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Selain itu, KPT turut melibatkan pasukan sukarelawan daripada inisiatif Siswa Madani yang terdiri daripada pelajar pelbagai universiti di seluruh negara, termasuk tiga wakil dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Ini adalah hasil pembinaan pasukan kesiapsiagaan yang telah lama kita latih dalam kalangan mahasiswa. Bila berlaku kecemasan, mereka bersedia turun padang membantu,” katanya.-UTUSAN