KEPALA BATAS : Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian penuh berkaitan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang bakal diselaraskan mulai Januari tahun hadapan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini, pihaknya mengambil kira semua aspek berhubung perkara itu termasuk semua jenis ujian kelayakan yang perlu dijalani bagi memasuki kedua-dua institusi berkenaan.
“Kita memang ambil perhatian penuh kepada semua, termasuk semua jenis ujian kelayakan dan sebagainya untuk kemasukan (ke institusi) itu.
“Insya-Allah, perkara itu sedang diselaraskan. Jadi, tidak ada masalah dalam konteks itu,” ujarnya ringkas selepas ditemui pada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di bawah Institusi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pengambilan bagi kemasukan ke MRSM dan SBP diselaraskan.
Ahmad Zahid berkata, pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut, namun, selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan berlakunya pertindihan. – UTUSAN