PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi fokus utama kepada inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah penduduk akibat kebakaran di Putra Heights, Selangor pada 1 April lalu.
Dalam kenyataannya, KPKT berkata, minggu lepas kementerian itu telah menubuhkan Special Task Force yang terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian ini, khususnya agensi pelaksana iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA.
Menurut kenyataan itu, Task force tersebut turut menyiapkan pelan tindakan untuk membaik pulih dan membina semula rumah-rumah mangsa yang terjejas kebakaran berkenaan berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pelan tindakan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri hari ini.
“KPKT hari ini juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.
“Pada masa yang sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SW Corp akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana sempena gotong royong pembersihan hujung minggu ini,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberikan perhatian serius terhadap insiden kebakaran tersebut.
Katanya, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada mangsa-mangsa kejadian ini daripada Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Selangor.
“Bantuan tersebut merangkumi bantuan wang tunai, bantuan sewa rumah transit, penyewaan kereta secara percuma, dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN