TAPAH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan tiga fasa strategik bagi menangani kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketiga-tiga fasa itu merangkumi kerja-kerja penyelamatan, pemulihan sebelum fasa terakhir yang paling sukar iaitu pembinaan dan baik pulih kira-kira 219 kediaman rakyat yang terjejas.
“Fasa pertama iaitu kerja-kerja penyelamatan sudah siap. Fasa kedua pada hujung minggu ini (Sabtu dan Ahad), kita akan kerahkan lebih 2,000 orang (kakitangan) SW Corp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor untuk kerja-kerja pembersihan.
“Fasa terakhir pembinaan yang paling sukar kerana 219 rumah hangus terbakar dan perlu baik pulih segera,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih 3.0 KPKT di Pasar Awam Tapah Road di sini hari ini.
Kementerian itu memperuntukkan RM6.13 juta bagi pelaksanaan 33 projek pembangunan dan infrastruktur kepada penduduk Tapah.
Katanya, pelan tindakan kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya selain telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerusi Nota Khas Jemaah Menteri.
“Kita akan buat pengumuman secepat mungkin setelah saya berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Petronas.
“Saya harap ia bermula secepat mungkin dengan peruntukan yang diatur dengan sewajarnya,” katanya.
Dalam kejadian pada awal pagi itu, sejumlah 235 premis termasuk rumah dan dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya manakala 225 kenderaan pula rosak akibat terbakar.
Susulan itu, polis mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan gas paip bawah tanah di Putra Heights pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekkan tanah itu adalah punca kejadian itu. – UTUSAN