PUTRAJAYA: Sebuah Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian ditubuhkan sebagai mekanisme ‘amaran awal’ bagi memastikan isu-isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani secara cekap dan berkesan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa itu akan menstruktur kerjasama merentasi kementerian secara lebih strategik yang sebelum ini hanya digerakkan secara ad hoc pada musim perayaan.
“Jawatankuasa teknikal itu turut melibatkan industri yang akan bermesyuarat secara berkala dan juga ada pelaporan.
“Pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan sekiranya wujud isu-isu yang melibatkan harga dan bekalan dikesan di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini hari ini.
Armizan berkata, jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan turut dianggotai wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), agensi dan industri berkaitan.
Jelas beliau, jawatankuasa tersebut akan bersidang setiap dua bulan dengan mesyuarat pertama pada bulan Mei ini.
“Jadi kita harapkan dengan adanya penubuhan jawatankuasa ini, maka perancangan ke hadapan akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan khususnya dari segi penstabilan harga dan bekalan,” katanya. – UTUSAN