PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menangguhkan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 selama enam bulan bermula 7 April lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan pengguna yang membeli dan menggunakan minyak enjin di negara ini.
Katanya, kementerian telah merangka satu perundangan khusus bagi melindungi dan mengawal selia jualan dan pengedaran minyak enjin di bawah perintah berkenaan.
“Minyak enjin kenderaan motor yang dijual di pasaran tempatan diwajibkan mempamerkan label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM).
“Bagaimanapun, kementerian telah menerima beberapa permohonan dan maklum balas daripada pemain industri dan persatuan berkaitan minyak enjin berhubung kekangan teknikal dalam mematuhi pelaksanaan perintah ini.
“Antaranya melibatkan aspek kesukaran untuk menghabiskan bekalan minyak enjin yang sudah diedar dan sedang berada di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihak industri digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan minyak enjin yang akan dijual di pasaran mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM pada 7 Oktober ini.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap syarikat pengimport, pengedar atau penjual yang menawarkan produk tanpa label pematuhan sah daripada SIRIM selepas tempoh penangguhan tamat.
“Mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan di bawah perintah ini boleh didenda tidak melebihi RM200,000. Individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Pada masa yang sama, kementerian akan meneruskan sesi libat urus bagi memastikan pihak industri mengambil langkah segera bagi mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024,” katanya. – UTUSAN