ALOR SETAR: Kos menukar keseluruhan paip bekalan air dasar laut yang menyalurkan bekalan itu kepada pengguna di Pulau Langkawi terlalu tinggi kerana boleh mencecah bilion ringgit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata, disebabkan itu hanya kerja pembaikan paip yang bocor dapat dilakukan ketika ini.
“Penukaran keseluruhan paip dasar laut sepanjang 36 kilometer yang berusia hampir 30 tahun dari Tanah Besar ke Pulau Langkawi boleh mencecah bilion ringgit.
“Oleh itu, buat masa ini kita cuma belanja RM50 juta termasuk RM10 juta kos untuk perundingan manakala baki RM40 juta untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Mohamad Yusuf (PN-Kuala Nerang) menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) yang ingin tahu anggaran untuk menukar keseluruhan paip dasar laut ke Langkawi.
Ini kerana Swee Leong menyatakan pembaikan paip yang bocor di beberapa lokasi itu memerlukan kos yang tinggi setiap kali kerja tersebut perlu dilakukan.
Ujar Mohamad Yusuf, sejak Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil alih konsesi Taliworks Langkawi pada 1 November 2020, sebanyak 42 lokasii kebocoran baru telah dibaiki secara in house oleh SADA dengan kaedah pengapit bawah air.
“Buat masa kini, kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan kebocoran dijalankan setiap dua minggu bergantung kepada cuaca dan keadaan air laut. Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikan dan pemeriksaan kebocoran baru dan lama adalah sebanyak RM3.1 juta,” katanya.
Terdahulu, menjawab pertanyaan Shamsilah Siru (PN-Ayer Hangat), Muhammad Yusuf berkata, SADA akan melaksanakan projek pembaikan paip dasar laut ke Langkawi bagi meningkatkan kestabilan bekalan air terawat di pulau tersebut.
Katanya, projek itu berada dalam fasa akhir perolehan dan akan bermula Ogos depan sebelum dijangka siap pada Februari 2026 melibatkan pemasangan 19 unit pressure steel clamp; enam unit rubber patch stopper dan proses mencegah karat atau kakisan dengan menggunakan teknik perlindungan katodik.
Sementara itu ujar beliau, kadar kebocoran yang tertinggi dicatatkan adalah sebanyak 55 peratus atau 33 juta liter sehari (MLD) kehilangan air berbanding 60 MLD pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru.
“Hasil pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran dapat menurunkan kadar kehilangan air kepada 27 peratus atau 16 MLD,” katanya. – UTUSAN