PETALING JAYA: Sebanyak 42,000 pelari tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 yang akan diadakan pada 4 dan 5 Oktober nanti.
Pengarah Projek, Rainer Biemans berkata, jumlah sasaran tersebut ditetapkan sama sebagaimana penyertaan tahun lepas.
Menurut beliau, pihaknya tiada perancangan untuk menambah jumlah peserta tahun ini terutama selepas berlaku pertukaran lokasi berbanding sebelum ini di Dataran Merdeka kepada salah satu lokasi di Pusat Bandar Kuala Lumpur dan berakhir di Stadium Merdeka.
“Kami tidak merancang untuk menambah jumlah peserta tahun dan kita tidak berminat untuk mengejar angka penyertaan.
“Tambahan pula dengan perubahan lokasi tahun ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian KLSCM 2025 di sini hari ini.
Menurut Rainer lagi, acara KLSCM tahun depan akan diadakan semula di Dataran Merdeka dan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah jumlah bergantung kepada keadaan.
“Pertukaran lokasi tahun ini disebabkan kerja-kerja baik pulih di Dataran Merdeka. Kami sebenarnya cuba untuk menjadikan kawasan tersebut hanya untuk garisan permulaan bagi para peserta dan garisan penamat di lokasi lain.
“Namun pihak DBKL memaklumkan kawasan padang itu juga telah ditutup,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rainer berkata, lokasi garis permulaan bagi acara tersebut masih belum diputuskan dan di peringkat perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Apa yang pasti garisan permulaan akan dibuat dalam kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan sudah semestinya kami memerlukan kawasan jalan raya yang lebih luas,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang penyertaan pelari elit, Rainer berkata, masih tiada pengesahan dibuat setakat ini.
Dalam pada itu, pendaftaran (keutamaan) akan dibuka esok sehingga 21 April 2025, manakala untuk pendaftaran awam akan dibuka 22 April sehingga 31 Julai atau sehingga habis.
Selain itu, terdapat kategori baharu yang diperkenalkan iaitu Run Club Challenge.-UTUSAN