PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan pemasangan mesin Automated External Defibrillator (AED) di kawasan awam sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan dalam komuniti.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hasrat kementerian adalah untuk memastikan kemudahan tersebut dapat diakses dengan mudah apabila berlaku kes-kes kecemasan.
“Namun, kemudahan sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu dan tindakan. Ilmu CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan penggunaan AED tidak seharusnya menjadi pengetahuan eksklusif kepada petugas kesihatan. Ia harus menjadi kemahiran asas masyarakat.
“KKM menyeru agar lebih ramai rakyat tampil mengikuti latihan CPR dan AED, yang kini ditawarkan secara meluas oleh Bulan Sabit Merah Malaysia dan St. John Ambulance Malaysia,” katanya ketika berucap Majlis Penyerahan Mesin AED di sini hari ini.
KKM hari ini menerima sumbangan sebanyak 210 unit mesin AED daripada Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd dengan 170 unit AED akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan terpilih di seluruh negara, manakala 40 unit lagi akan diserahkan kepada 17 kementerian dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan akses rawatan awal kepada mangsa serangan jantung mengejut (sudden cardiac arrest atau SCA) sebelum ketibaan pasukan ambulans, khususnya di bangunan kerajaan yang mempunyai aliran pengunjung yang tinggi.
Menurut beliau, sejak 2023, KKM telah memulakan program latihan CPR dan penggunaan AED di sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui inisiatif “CPR4Schools”.
Jelasnya, di peringkat negeri pula, Pulau Pinang telah menunjukkan kejayaan luar biasa dalam menjadikan AED sebagai aset komuniti dengan lebih 1,000 unit AED dipasang di seluruh negeri, selain latihan turut diberikan kepada hampir 100,000 penyelamat bukan profesional.
“Hasilnya, sebanyak 16 kes mangsa SCA berjaya diselamatkan, sekaligus membuktikan bahawa pendekatan bersepadu adalah penting dan efektif,” katanya.
Tambahnya lagi, usaha sedemikian tidak dapat digerakkan oleh satu pihak sahaja, justeru pendekatan membudayakan ilmu CPR serta memperluas penggunaan AED memerlukan komitmen kolektif seluruh negara yang merangkumi kerjasama rentas kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak penyertaan sektor korporat, agensi-agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang lain untuk bersama-sama menyokong aspirasi itu dan berganding bahu dalam memperluas akses AED. – UTUSAN