KKM dijangka bentang RUU Akta Penjagaan Pra Hospital selewat-lewatnya hujung tahun

KKM dijangka bentang RUU Akta Penjagaan Pra Hospital selewat-lewatnya hujung tahun

DZULKEFLY Ahmad beramah mesra bersama wakil penerima selepas Majlis Penyerahan Mesin Automated External Defibrillator (AED) di Kementerian Kesihatan Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Pra Hospital selewat-lewatnya hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses penggubalan akta berkenaan sedang berjalan ketika ini termasuk ‘Good Samaritan Law’ iaitu sejenis indemniti untuk melindungi orang awam yang secara suci hati membantu dalam situasi kecemasan.

“Bahagian Perkembangan Perubatan dan BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) sedang melihat perkara ini bagaimana kita akan mempermudahkannya dan keberanian orang awam yang telah pun diberikan latihan, kemahiran itu mesti disahkan agar mereka berani ke hadapan untuk melakukan intervensi menyelamatkan nyawa pada waktu-waktu kritikal.

“Ini adalah komitmen yang saya mahukan dan kementerian mahu laksanakan. Kita berharap RUU ini dapat dibentangkan dalam masa terdekat, mungkin menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan (kerana) kita mempunyai banyak RUU dalam perancangan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Mesin Automated External Defibrillator (AED) di sini hari ini.

Akta ‘Good Samaritan’ ialah perlindungan undang-undang yang menggalakkan individu untuk membantu orang lain dalam situasi kecemasan tanpa rasa takut mengenai tindakan undang-undang sekiranya disaman kerana menyebabkan kecederaan yang tidak disengajakan semasa memberi bantuan.

Media pada 14 Disember 2024 lalu melaporkan, KKM merancang memperkenalkan RUU berkonsepkan ‘Good Samaritan Law’ bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dalam situasi jantung terhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA).

Dr. Dzulkefly dilapor berkata, akta itu juga bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka yang bertindak menghulurkan bantuan atas dasar kepercayaan baik dalam usaha menyelamatkan nyawa orang awam.

Dalam perkembangan berlainan, Dr. Dzulkefly berkata, KKM akan mengeluarkan notifikasi ketidakpatuhan atau surat amaran ke atas premis yang didapati gagal mematuhi Larangan Pameran Produk Rokok di Kaunter Jualan.

Bagaimanapun, menurutnya, pelaksanaan penguatkuasaan secara berfasa sedang berlangsung ketika ini sehingga 1 Oktober depan.

“Penguatkuasaan berfasa masih lagi berlangsung dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan, kementerian akan mengeluarkan notifikasi atau surat amaran kepada pihak terbabit,” katanya.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya dikuatkuasa mulai 1 Oktober tahun lalu.

Perintah larangan itu melibatkan sebanyak 51,000 kedai yang menjual produk merokok di seluruh negara.

Akta 852 merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya