TAPAH: Kementerian Kesihatan (KKM) membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan produk farmaseutikal dikenakan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan hal itu susulan pengumuman terbaharu Presiden AS, Donald Trump berkaitan pelaksanaan tarif ke atas produk farmaseutikal yang diimport.
“Sebagai menteri, saya memang memerhatikan pengumuman yang dibuat. Sebelum ini ada pengecualian ke atas produk farmaseutikal dan peralatan perubatan tapi kini ada perubahan pula.
“Jadi, saya sedang menanti dengan debaran sama ada tarif ini berkait juga dengan produk farmaseutikal iaitu turut dikenakan tarif 24 peratus atau tidak.
“Bagi peranti perubatan, memang sudah disahkan akan dikenakan tarif,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan daerah Batang Padang di Hospital Tapah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, tarif baharu yang diumumkan Trump itu sebenarnya akan dibayar oleh rakyat Amerika Syarikat sendiri apabila mereka mengimport barangan dari negara luar.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan itu akan memberi kesan kepada banyak negara kerana ia menjejaskan kuasa beli dan rantaian bekalan.
“Apabila barangan dibawa masuk atau diimport oleh Amerika Syarikat, kenaikan itu dibayar oleh mereka. Kalau sebelum ini satu produk harga 100 dolar, kini akan naik kepada 124 dolar.
“Ini menjadikan barangan kita kurang kompetitif dan secara tidak langsung memberi kesan kepada daya saing serta rantaian bekalan.
“Walaupun kita belum tahu dengan jelas hala tuju dasar baharu itu, KKM tetap akan membuat persiapan sewajarnya kerana isu import eksport ini melibatkan semua negara.
“Daripada pihak saya sebagai menteri kesihatan, saya mahu perhatikan sejauh mana tarif ini akan ada pengecualian kepada produk farmaseutikal, ubat-ubatan dan dadah,” katanya. – UTUSAN