PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan satu lagi pusingan libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pemegang taruh berkait Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sesi libat urus itu akan dijadualkan dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan atau sebarang cadangan daripada mereka.
“Saya akan segera perhatikan atau mungkin juga saya boleh memanggil mereka untuk satu libat urus lagi. Saya bersedia untuk mendengar (pandangan) selepas mereka adakan perjumpaan semalam.
“Saya rasa dalam waktu yang terdekat saya akan sekali lagi memanggil MMA untuk adakan perbincangan tentang hal yang terkait dengan pameran harga ubat ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Mesin AED di sini hari ini.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa KKM menghentikan dan mempertimbangkan semula penggunaan Akta 723 terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta.
MMA dalam satu kenyataan bersama berkata, sebaliknya KKM perlu memastikan semua dasar berkaitan penjagaan kesihatan kekal di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menggunakan peruntukan sudah ada dalam akta terbabit.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia (MPCAM), Akademi Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (AFPM), Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta, Malaysia (FPMPAM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dab Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Persatuan Pengamal Swasta Sabah (APPS) dan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SMPPS).
Sebelum ini, dilaporkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan. – UTUSAN