BAGAN SERAI: Pembukaan loji benih padi milik Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Simpang Lima dekat sini memperkukuh industri padi di kawasan ini.
Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kilang padi itu juga menjamin bekalan benih padi berkualiti kepada pesawah di seluruh Perak dan negeri-negeri di utara Semenanjung.
Menurutnya, loji berkenaan akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 6 Mei ini merupakan langkah strategik dalam usaha mengawal mutu dan kestabilan harga benih padi.
“Apabila kita hasilkan benih sendiri, kita bukan sahaja mampu menjaga kualiti tetapi juga menstabilkan harga agar tidak membebankan pesawah.
“PPN Perak dijanjikan kuota pengeluaran sebanyak 30,000 kampit benih padi yang dapat menampung keperluan pesawah di negeri ini dan pesawah di Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika merasmikan ram syarikat pembelian dan pengumpulan hasil kelapa sawit, Ramp Seihotrades Sdn. Bhd di Sungai Rawa dekat sini semalam.
Sham berkata, PPN Perak menyambut baik keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menurunkan harga benih padi sebanyak RM2 selepas aduan dikemukakan kepada menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurutnya, penurunan harga kepada RM52 sekampit di pintu kilang memberi kelegaan besar kepada pesawah dan membuktikan kerajaan prihatin dengan kos pengeluaran yang dihadapi mereka.
“Namun pesawah yang mendapatkan benih melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masih akan dikenakan sedikit caj tambahan bagi menampung kos penghantaran dan jentera,” katanya.
Menurutnya, harga benih sebelum ini berada pada paras antara RM60 hingga RM63 sekampit, namun kini telah menurun ke sekitar RM50 hingga RM60 sekampit, bergantung kepada jenis benih dan kualiti.
“Kita harap kestabilan ini dapat dikekalkan, lebih-lebih lagi dengan adanya loji pengeluaran sendiri yang akan menjadi pemangkin kepada kelangsungan industri padi tempatan,” katanya. – UTUSAN