KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat dan para pemimpin yang hadir pada penghormatan terakhir Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau yang juga menantu kepada Perdana Menteri kelima berkata, ramai yang mempunyai memori yang indah sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan menteri.
“Justeru, saya tidak lupa ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dif-dif kenamaan yang datang pada hari ini.
“Politik, sahabat kandai, saudara mara dan juga rakyat jelata yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah. Tidak lupa juga kepada wakil ataupun pemimpin daripada negara asing, terutamanya Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri yang telah pun datang.
“Tidak lupa juga kepada seluruh perwakilan dan kedutaan asing yang hadir pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Makam Pahlawan.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemimpin tertinggi, antaranya Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan para pemimpin negara.
“Terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Datuk Fadillah Yusof dan tidak lupa juga kepada mantan-mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Pada sama sama, beliau juga menghargai segala usaha yang digerakkan oleh agensi berkaitan dalam proses pengebumian bapa mertuanya. – UTUSAN