Ketua pembantu tadbir didakwa 20 pertuduhan tuntutan palsu lebih RM100,000

Ketua pembantu tadbir didakwa 20 pertuduhan tuntutan palsu lebih RM100,000

MOHD. KHAIRUL Md. Khalid dituduh mengemukakan 20 tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ketua pembantu tadbir sebuah sekolah menengah kebangsaan di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000 antara tahun 2021 hingga 2022.

Tertuduh, Mohd. Khairul Md. Khalid, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Khairul didakwa menggunakan dokumen palsu berbentuk invois antara RM1,170 hingga RM7,920 bagi pembekalan modul latih tubi pembelajaran dan pengajaran (P&P) kepada pelajar sekolah, sedangkan pembekalan tidak pernah dilakukan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekolah tempat dia bertugas dari 1 Mei 2021 hingga 1 Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia turut mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan dokumen palsu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam, Awang Armada Jaya Awang Mahmud yang merayu jaminan minimum memandangkan anak guamnya telah diisytihar bankrap dan bergaji ditahan sejak tahun lalu.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya