Kesahihan sidang media Tun M diragui

Kesahihan sidang media Tun M diragui

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua rakaman sidang media telah dimainkan di Mahkamah Tinggi hari ini pada prosiding permohonan komital oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rakaman yang diterbitkan di dua portal berita telah dimainkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.

Terdahulu, sebelum rakaman tersebut dimainkan, hakim tersebut mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk membuat pengesahan kesahihan rakaman-rakaman itu.

“Apabila saya menonton video ini, saya merasakan seolah-olah sidang media tersebut telah dirancang lebih awal. Dalam keadaan di mana kesahihan sesuatu video tidak dapat dipastikan, ia boleh menimbulkan unsur kepalsuan sama ada dari segi visual mahupun audio.

“Dengan kecanggihan teknologi masa kini seperti kecerdasan buatan (AI), pengesahan daripada pakar amat diperlukan,” katanya.

Peguam, Nizam Bashir yang mewakili Dr. Mahathir menafikan bahawa sidang media itu adalah sesuatu yang terancang.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid yang tidak hadir telah diwakili oleh peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Mahkamah menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak mengemas kini status kesahihan rakaman itu.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan komital itu berkaitan dengan sidang akhbar oleh Dr. Mahathir selepas selesai memberi keterangan dalam kes saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung isu `kutty’.

Pada sidang akhbar itu, Dr. Mahathir antara lain menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau kepada media.

Dr. Mahathir dalam afidavit jawapannya menyatakan permohonan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara beliau.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga menyatakan tindakan tersebut adalah bagi melengahkan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Ahmad Zahid yang dijadualkan untuk memberi keterangan pada 15 Mei ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya