KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Sesyen hari ini akan meneruskan kes hasutan membabitkan blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman memaklumkan perkara itu kepada Hakim Norma Ismail bahawa telah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan kes tersebut, setelah mendapati siasatan kes berkenaan lengkap.
“Saya percaya untuk kes ini masih ada lagi ramai saksi dan kita telah tetapkan tarikh perbicaraan pada 23 dan 30 April ini,” katanya.
Sebelum ini, Wan Muhammad Azri telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya.
Untuk rekod, pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di laman X miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari, 29 April tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN