KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Op Sky membabitkan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank serta organisasi perunding kewangan sudah dilengkapkan dan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya, minggu depan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat kes sedang mengemas kini kertas siasatan itu.
“Saya berharap TPR sekiranya tidak ada apa-apa dalam kes ini, kita mohon supaya ia dapat disegerakan dengan satu keputusan.
“Hal ini kerana rakyat ingin mengetahui apakah keputusan daripada kes ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, SPRM merampas sebanyak 4,000 dokumen bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Ia susulan kejayaan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan di sekitar Lembah Klang.
Pinjaman yang diluluskan itu membabitkan pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 2020.
Sindiket dipercayai menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan kepada kakitangan awam melalui platform media sosial dan jelajah ke jabatan serta kementerian.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dalam serbuan di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu. – UTUSAN