KEPALA BATAS : Kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Nibong Tebal di sini sudah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut, Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini juga, pihaknya telah berjaya melengkapkan siasatan dan merekodkan keterangan pelajar serta kakitangan sekolah berkenaan, termasuk mangsa.
“Saya tak boleh nak cakap dengan lebih terperinci sebab ia berkaitan dengan siasatan. Tetapi, siasatan kita sudah sampai tahap siap dan lengkap.
“Kita sudah majukan kertas siasatan dan laporan perubatan (mangsa) kepada TPR untuk arahan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes terbabit selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Kepala Batas, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, insiden terbabit yang dilaporkan berlaku pertengahan tahun lalu itu didapati berlaku sekali sahaja dan tidak berulang.
“Berdasarkan siasatan polis, sekali sahaja kejadian itu berlaku dan kumpulan itu ‘bergurau’ dalam kalangan mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, polis telah merekodkan keterangan lima daripada tujuh pelajar berusia 15 tahun yang terlibat manakala baki dua lagi pelajar akan diambil keterangan mereka dalam masa yang terdekat.
Difahamkan, keterangan pelajar-pelajar itu diambil ketika mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada hari kejadian itu tular iaitu pada 7 April lalu.-UTUSAN