MELAKA: Keputusan Barisan Nasional (BN) Sabah yang mengumumkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-7) negeri itu dilihat sebagai langkah wajar
Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, keputusan itu juga membuktikan hubungan kedua-dua parti juga semakin baik dan bertambah erat.
Jelasnya, negeri Melaka telah menunjukkan bahawa kerjasama di antara BN dan PH boleh dibentuk tanpa masalah.
“Saya penuh yakin keputusan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN17 adalah tepat.
“Zaman sekarang kalau kita lihat tidak ada parti yang benar-benar dominan dan satu parti yang berkuasa juga tidak lagi relevan buat masa ini kerana itu perlu ada kerjasama erat.
“Di Melaka terbukti kerjasama dengan PH semakin baik dan pentadbiran kerajaan
negeri berjalan lancar tanpa ada isu besar dan mengapa tidak Sabah begitu juga,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Pengkalan Batu, di Dewan Japerun Pengkalan Batu di sini semalam.
Semalam, Bung Moktar memaklumkan keputusan kerjasama BN dan PH itu telah dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah, akhir tahun lalu.