SUBANG JAYA: Siasatan awal mendapati, paip kumbahan yang dipasang oleh pihak pemaju adalah pada kedalaman dan saiz yang dibenarkan iaitu tidak melebihi tiga meter daripada paras jalan susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mendapati kerja-kerja penggalian dan pemasangan paip kumbahan adalah pada kedalaman 2.1 meter dengan lebar korekan 1.5 meter dari aras jalan berkenaan.
Beliau berkata, kerja-kerja penggalian semula laluan paip itu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengetahui sama ada terdapat sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.
“Kerja-kerja pemasangan (kontraktor) ini dilakukan sepanjang lebih 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.
“Kerja-kerja penggalian dilakukan dengan tiga jengkaut, sebuah jentera pengorek dan jentolak bagi membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip Petronas yang dipercayai berada di kedalaman enam hingga tujuh meter.
“Pihak polis mendapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya, jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya di Putra Heights di sini, hari ini.
Kerja-kerja penggalian itu melibatkan kerjasama Petronas, JKR, JUPEM, DOSH, TNB, Air Selangor dan pihak kontraktor.
Ditanya sama ada ukuran 1.6 meter adalah jarak yang selamat, beliau berkata, pihaknya masih memerlukan siasatan lanjut kerana perlu menggali keseluruhan laluan saluran paip itu sehingga ke lokasi bencana.
“Keputusan tersebut akan diketahui sehingga keseluruhan saluran paip itu dirungkai bagi siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, pihak bomba mengesahkan sebanyak 220 rumah adalah selamat iaitu tidak terjejas daripada 439 rumah yang dinilai dalam radius 325 meter dari pusat letupan.
“Rumah terjejas adalah sebanyak 219 rumah dan daripada jumlah ini, 87 mengalami kerosakan melebihi 20 peratus (kerosakan besar) dan 132 mengalami kerosakan kecil (kurang 20 peratus),” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan rumah-rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah mulai hari ini (semalam).
Menurutnya, senarai rumah-rumah tersebut akan diedarkan dan dimaklumkan kepada penghuni dalam masa terdekat.
“Sehingga sekarang sebanyak 130 rumah boleh diduduki semula. Sebanyak 45 pemilik rumah sudah berpindah dan pada hari ini sebanyak 24 rumah di Kg. Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154 rumah,” katanya. – UTUSAN