Kerja gali tanah oleh pemaju pada kedalaman dibenarkan

Kerja gali tanah oleh pemaju pada kedalaman dibenarkan

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Pasukan penyiasat akan melakukan penggalian lebih luas di kawasan saluran paip gas yang meletup di Putra Heights di sini bagi mencari punca sebenar, ia berlaku Selasa lalu.

Siasatan awal mendapati, paip kumbahan yang dipasang oleh pihak pemaju yang dikatakan menjadi punca kejadian adalah pada kedalaman dan saiz dibenarkan, iaitu tidak melebihi tiga meter dari paras jalan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mendapati kerja-kerja penggalian dan pemasangan paip kumbahan adalah pada kedalaman 2.1 meter dengan lebar korekan 1.5 meter dari aras jalan berkenaan.

Menurutnya, kerja-kerja peng­­galian semula laluan paip itu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengetahui sama ada terdapat sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

“Kerja-kerja pemasangan yang dilakukan kontraktor adalah sepanjang lebih 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas pula adalah jalan yang diluluskan,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni di sini, semalam.

Tambah Hussein, kerja-kerja penggalian dilakukan dengan tiga jengkaut, sebuah jentera pengorek dan jentolak bagi membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip Petronas yang dipercayai berada di kedalaman enam hingga tujuh meter.

“Kita mendapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya, jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya.

Kerja-kerja penggalian itu melibatkan Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan kontraktor.

Disoal sama ada ukuran 1.6 meter adalah jarak yang selamat, ujarnya, polis masih memerlukan siasatan lanjut kerana perlu menggali keseluruhan laluan saluran paip itu sehingga ke lokasi bencana.

“Keputusan tersebut akan diketahui sehingga keseluruhan saluran paip itu dirungkai bagi siasatan lanjut,” katanya.

Hussein berkata, bomba mengesahkan sebanyak 220 rumah adalah selamat iaitu tidak terjejas daripada 439 rumah yang dinilai dalam radius 325 meter dari pusat letupan.

“Rumah terjejas adalah sebanyak 219 buah dan daripada jumlah ini, 87 mengalami kerosakan melebihi 20 peratus (kerosakan besar) dan 132 mengalami kerosakan kecil (kurang 20 peratus),” jelasnya.

Katanya, rumah-rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah mulai, semalam.

Menurutnya, senarai rumah-rumah tersebut akan diedarkan dan dimaklumkan kepada penghuni dalam masa terdekat.

“Sehingga sekarang sebanyak 130 rumah boleh diduduki semula. Sebanyak 45 pemilik rumah sudah berpindah dan pada hari ini 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154 rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya