PETALING JAYA: Kerajaan akan mewujudkan stok penimbal gula putih berjumlah 2,000 tan metrik di Sabah dan Sarawak, serta Labuan bermula 1 Mei ini bagi memastikan bekalan gula di kawasan terbabit tidak terjejas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 tan adalah untuk keperluan Sabah dan Labuan, manakala 1,000 tan lagi di Sarawak.
Beliau berkata langkah dilaksanakan itu mengambil kira ketergantungan sepenuhnya bekalan gula putih bertapis dari Semenanjung memandangkan tiada pengilang beroperasi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Syarikat (pengilang) ini hanya berada di Semenanjung maka barangan seperti gula ini memerlukan langkah khusus. Itu sebabnya kementerian telah membawa syor khusus mengadakan stok penimbal kepada Jemaah Menteri Persekutuan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Syor ini telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac lalu… kita anggarkan jumlah stok penimbal ini mampu memenuhi permintaan bekalan di kawasan tersebut untuk tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Papar, hari ini.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, penyelesaian berkesan seperti stok penimbal diperlukan untuk mengelakkan kejadian sama berulang kerana gangguan bekalan yang serius pernah berlaku pada Ogos hingga Oktober 2023.
Katanya, faktor logistik turut diambil kira dalam pelaksanaan langkah berkenaan memandangkan penghantaran bekalan melalui perkapalan dari Semenanjung memerlukan masa lima hari ke Sarawak dan tujuh hari ke Sabah.
“Bekalan gula mentah kita import luar negara, ini masalah kita kerana kita tiada pengeluaran gula mentah secara besar-besaran di Malaysia, dan tiada pengilang (proses gula mentah) di Sabah serta Sarawak.
“Jadi saya mengalu-alukan jika kerajaan Sabah dan Sarawak mengambil pendekatan mungkin melalui GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk ada syarikat pengilang bagi memproses gula mentah serta memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran,” katanya.
Armizan berkata walaupun mempunyai stok penimbal, gula putih bertapis itu kekal dijual pada harga kawalan RM2.85 sekilogram.
“Harga gula mentah yang kita bawa (import) jauh lebih tinggi daripada harga sebenar gula bertapis iaitu RM3.85 sekilogram lebih RM1 daripada harga kawalan gula bertapis kerana kerajaan telah memberikan insentif khas kepada pengilang untuk mengekalkan harga kawalan itu,” katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga akan ditubuhkan dianggotai kementerian, jabatan, agensi serta pemain industri berkaitan bagi memastikan keberkesanan langkah yang diambil.
Katanya, selain stok penimbal, kerajaan juga meluluskan peruntukan tambahan subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Peruntukan yang disediakan kini adalah sebanyak RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram,” katanya.-UTUSAN