PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2025 dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau juga akan membuat pengumuman dan memberikan kenyataan penuh berhubung perkara itu menerusi Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut akan menyampaikan kenyataan pada sidang khas itu berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia.
“Itu adalah semakan semula di peringkat antarabangsa — untuk dunia, Amerika Syarikat, China dan kebanyakan negara — dan ia menunjukkan sedikit penurunan.
“Kerajaan, Bank Negara dan Perbendaharaan akan menelitinya semula. Saya akan membuat pengumuman dan memberikan kenyataan penuh di Parlimen pada 5 Mei,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini hari ini.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit beramah mesra dan menyantuni warga kerja JKDM.
Semalam, media melaporkan IMF telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus sebelumnya, mencerminkan semakan penurunan yang lebih meluas di seluruh rantau ini.
Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia pada April 2025 bertajuk “A Critical Juncture amid Policy Shifts”, IMF turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2026.
Selain itu, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.8 peratus, turun 0.5 mata peratusan daripada anggaran Januari.
Dalam kalangan rakan dagangan serantau Malaysia, IMF menurunkan unjuran Indonesia bagi 2025 kepada 4.7 peratus daripada 5.1 peratus. – UTUSAN