SUBANG JAYA: Kerajaan Selangor menawarkan sebanyak 100 unit rumah sewa sementara di Pangsapuri Sri Suria, Kota Warisan, Sepang dengan kadar sewaan ditetapkan sebanyak RM850 sebulan.
Kadar tersebut termasuk bayaran penyelenggaraan bagi tempoh enam bulan sebagai usaha membantu penduduk yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, inisiatif tersebut merupakan antara langkah segera kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.
“Rumah sewa yang ditawarkan ini berkeluasan 1,100 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dilengkapi kipas, lampu, jeriji besi serta kemudahan air dan elektrik.
“Ia juga merupakan unit baharu yang belum pernah diduduki. Jika mereka berdaftar hari ini dan proses berjalan lancar, kita boleh serah kunci pada hari Rabu. Mereka boleh terus masuk ke rumah selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Selangor Prihatin, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Borhan berkata, tawaran tersebut terbuka kepada semua penduduk yang terkesan tanpa mengira sama ada mereka pemilik rumah atau penyewa.
Namun, jelas beliau, tawaran berkenaan adalah berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
“Daripada 396 kediaman yang dikenal pasti terjejas, sebanyak 295 unit adalah milik sendiri manakala 101 unit lagi merupakan rumah sewa.
“Siapa yang berdaftar awal akan diproses terlebih dahulu. Kita akan semak nama-nama yang berdaftar dengan Pejabat Daerah bagi mengelakkan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata, setiap unit rumah di Pangsapuri Sri Suria dilengkapi dua petak letak kereta, kawasan berpagar dan kawalan keselamatan.
“Rumah ini cukup selesa dan boleh didiami pada bila-bila masa. Jika mereka telah menyewa di tempat lain untuk bulan ini, mereka boleh berpindah bulan hadapan selagi unit masih ada,” jelasnya.
Tambah beliau, selepas tamat tempoh sewaan enam bulan, penduduk yang masih belum memiliki rumah boleh dipertimbangkan untuk menyertai Skim Smart Sewa di bawah Kerajaan Negeri.
“Jika mereka layak, kita boleh panjangkan tempoh sewaan antara dua hingga lima tahun.
“Malah, sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan akan dikembalikan sebagai insentif pemilikan rumah di bawah program Rumah Selangorku,” katanya.
Sebagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang, Borhan berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pemaju Sime Darby Property Berhad yang menawarkan 66 unit hartanah untuk disewa atau dibeli oleh mangsa pada kadar harga istimewa.
“Sebanyak 10 unit rumah jenis berkembar di Serenia City ditawarkan untuk disewa dengan kadar RM1,800 sebulan. Ia lengkap dengan kemudahan asas seperti peti sejuk, kipas dan lampu.
“Selebihnya ditawarkan untuk pembelian pada harga bermula RM793,888 hingga RM924,888,” katanya.
Menurutnya, kaunter pendaftaran dibuka selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu di Masjid Putra Heights dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang, serta pada Sabtu ini dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.
Permohonan juga boleh dibuat di Pejabat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB), Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan SUK, Shah Alam. – UTUSAN