Kerajaan Selangor nafi lokasi penempatan sementara mangsa Putra Heights 'terpencil'

Kerajaan Selangor nafi lokasi penempatan sementara mangsa Putra Heights ‘terpencil’

BORHAN Aman Shah (kiri) bersama penerima yang juga mangsa insiden Putra Heights, Abu Samah Rahmat (kanan) pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara Kepada mangsa Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan Sepang. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan kononnya lokasi rumah sewa sementara bagi mangsa insiden letupan gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan di sini terletak di kawasan yang terpencil.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, buat masa ini, lokasi ini paling sesuai kerana ia mempunyai unit kosong untuk disewa.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai beberapa unit kediaman lain berdekatan lokasi insiden namun, semuanya telah disewa kecuali di Pangsapuri Seri Suria ini.

“Sebenarnya kita melihat di mana ada kekosongan (unit kosong). Kami di Selangor ada beberapa tempat lain tetapi ia telah dipenuhi dengan penyewa.

“Tapi yang ada betul-betul kosong adalah di sini (Pangsapuri Seri Suria) dan hanya disini. Lagipun, dari Putra Heights ke sini lebih kurang 30 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan Sepang di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga melihat ada mangsa-mangsa yang dahulunya berulang alik dari rumah mereka ke kawasan ini untuk bekerja sekali gus memudahkan mereka.

Borhan berkata, lebih menarik, rumah yang disediakan ini adalah unit rumah pangsa baharu serta lengkap fasiliti yang selesa.

Jelasnya lagi, mangsa yang memohon unit ini menerusi Skim Smart Sewa boleh mula menduduki tanpa sebarang deposit.

“Seperti yang kita janjikan, rumah ini kita tawarkan dengan sewa RM850 sebulan termasuk caj perkhidmatan. Harga pasaran sebenarnya RM1,200 dengan pelbagai kemudahan, dua lot parkir selain lampu, kipas, elektrik dan air disediakan.

“Dengan bantuan sewaan RM2,000 selama enam bulan dari kerajaan negeri maka, mereka ada lebihan lagi bantuan untuk menampung kos lain,” katanya.

Katanya, setakat ini, 75 mangsa telah berdaftar untuk memohon rumah ini dan menjangkakan separuh daripadanya memilih tawaran ini.

Jelasnya lagi, penyewa juga boleh memohon untuk meneruskan sewaan selepas tempoh enam bulan berdasarkan kelayakan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menawarkan 100 unit rumah Smart Sewa di Sepang yang sebahagiannya dibiayai Kerajaan Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya