KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta menyerap kira-kira 18,000 pegawai pemantau harga di bawah program pekerjaan sementara (MySTEP) ke jawatan tetap atau kontrak.
Ini berikutan mereka sudah lama berkhidmat di bawah skim itu yang tidak menawarkan sebarang faedah seperti cuti rehat, perubatan dan tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, pada masa sama pegawai pemantau yang berkhidmat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berperanan besar dalam memantau harga barang di seluruh negara.
Katanya, sebahagian besar daripada mereka berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan gaji sekitar RM1,500 sebulan.
Katanya, mereka adalah penjawat awam barisan hadapan dalam memastikan kestabilan harga barang patut mendapat layanan lebih baik seperti jawatan tetap atau kontrak.
“PPH sudah berkhidmat selama 18 tahun sejak 2008 mengikut sistem Kontrak Perkhidmatan, kini dicadang ditukarkan kepada Skim MySTEP iaitu penurunan gred tanpa jaminan kestabilan pekerjaan dan faedah kebajikan sewajarnya,” katanya pada Majlis Sambutan Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Negeri Terengganu di sini, semalam.
PPH berperanan memastikan kestabilan harga barang dan membendung manipulasi harga yang boleh membebankan rakyat.
Adnan berkata, kebimbangan CUEPACS ialah menjelang 2025, status kontrak PPH akan mencapai 18 tahun tanpa sebarang kenaikan tangga gaji mahupun peningkatan taraf jawatan.
Katanya, sepanjang tempoh 18 tahun perkhidmatan, pelbagai cadangan dikemukakan bagi memastikan PPH mendapat status perjawatan lebih stabil, termasuk kenaikan taraf kepada sekurang-kurangnya Kontrak Perkhidmatan tetapi tiada tindakan konkrit diambil.
“CUEPACS bantah pelaksanaan Skim MySTEP kepada PPH kerana ia akan menghakis kestabilan pekerjaan serta hak kebajikan mereka, malah skim berasaskan kontrak jangka pendek ini juga tidak wajar diteruskan memandangkan ia tidak menjamin peningkatan pendapatan dan kestabilan pekerjaan,” katanya.
Adnan berkata, CUEPACS menggesa kerajaan agar menilai semula keputusan pelaksanaan Skim MySTEP kepada PPH dan mengambil langkah proaktif dalam memperjuangkan kebajikan serta kestabilan pekerjaan mereka.
Menurutnya, PPH sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi hampir dua dekad dalam memastikan kestabilan harga barang di negara ini, justeru, mereka wajar diberikan pengiktirafan dan jaminan kerjaya lebih baik sebagai penghargaan atas sumbangan kepada negara.
Sebarang bentuk perubahan dalam status perjawatan PPH mesti mengambil kira kepentingan kebajikan pekerja, termasuk jaminan pekerjaan, kenaikan gaji, faedah kebajikan serta perlindungan KWSP dan Perkeso.
Sementara itu, beliau mengingatkan penjawat awam tidak melakukan komen jelik dalam media sosial sehingga menjejaskan nama baik jabatan kerajaan.
Katanya, penjawat awam tidak seharusnya menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu isu yang berbangkit.
“Majikan kami adalah kerajaan dan dalam masa sama kerajaan kini sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam dan kerajaan sentiasa membuka ruang kepada mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati,” katanya.
Adnan berkata, CUEPACS berdukacita dengan komen-komen yang jelik dilakukan penjawat awam kepada majikan sendiri.
“Ini adalah satu amalan yang tidak boleh diterima dan kita tidak bertolak ansur dalam hal ini.
“Ketika kita berada dalam proses rundingan Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam, terutama dalam fasa berikutnya, komen-komen jelik ini tidak patut berlaku,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan 18 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima surat peringatan manakala seorang bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan kerana melanggar etika penggunaan media sosial dalam tempoh dua tahun lalu. – UTUSAN