PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memperhebat inisiatif bagi memberdaya komuniti India di negara ini melalui pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu kerajaan juga akan menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.
“Ini penting dalam merealisasikan hasrat memartabat masyarakat India di negara ini, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India pada masa hadapan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada semua masyarakat Tamil, Sikh dan komuniti Malayalee yang meraikannya.
“Semoga tahun baharu ini membawa lebih banyak kegembiraan, kesihatan yang baik dan keberkatan buat anda semua.
“Kita raikan kepelbagaian ini dengan rasa bangga, kerana inilah warna-warni Malaysia yang menjadikan negara kita unik dan kuat. Teruskan semangat perpaduan, itulah kekuatan sebenar kita. – UTUSAN