Kerajaan pastikan harga benih padi tidak bebankan pesawah - Utusan Malaysia

Kerajaan pastikan harga benih padi tidak bebankan pesawah

MOHAMAD Sabu (kiri) menyantuni anak yatim pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pesawah menerima penurunan harga benih padi sah (BPS) sebanyak RM2 sehingga semakan dibuat terhadap kadar baharu tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semakan harga benih padi itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada pada paras yang tidak membebankan pesawah.

Katanya, beliau mengambil maklum keluhan pesawah dan langkah sewajarnya akan diambil dalam menangani kebimbangan golongan itu terhadap harga benih padi.

“Buat masa ini (harga BPS) diturunkan sebanyak RM2, namun harga itu akan dilihat dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang, saya harap para petani terima dulu penurunan sebanyak RM2 ini.

“Di pihak kementerian, kita sentiasa peka terhadap apa-apa tuntutan yang dianggap munasabah oleh para petani,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan KPKM menurunkan harga BPS sebanyak RM2 disifatkan mengecewakan golongan pesawah kerana didakwa tidak memberi kesan signifikan kepada mereka.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob, penurunan harga itu terlalu kecil berbanding peningkatan mendadak yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai harga santan yang belum menunjukkan penurunan, beliau berkata, harga barang tersebut dalam pasaran dijangka stabil tidak lama lagi.

“Harga santan secara umumnya ada sedikit penurunan menjelang hari raya tapi tidak turun seperti yang diharapkan. Jadi, langkah awal yang diambil adalah dengan membawa kelapa dari Sabah ke dalam pasaran.

“Sekarang pun sudah lebih sejuta biji kelapa dibawa dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Harga santan ini akan kembali normal cuma musim perayaan di Malaysia (disambut) sebulan, jadi selepas bulan ini akan kembali normal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya