KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang tidak melanggar perintah mahkamah berhubung tindakan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Raub, dekat sini, semalam.
Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, dakwaan Save Musang King Alliance (Samka) bahawa kerajaan negeri bertindak bertentangan dengan keputusan mahkamah adalah tidak berasas.
Kata beliau, permohonan pihak terbabit sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan kemudian turut ditolak Mahkamah Rayuan.
“Justeru, tanah berkenaan adalah hak milik kerajaan negeri dan terpulang sepenuhnya kepada kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini hari ini.
Saiful Edris berkata, pihak yang menceroboh tanah kerajaan tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah tersebut.
“Perlu dijelaskan bahawa mereka yang menduduki tanah itu secara haram tidak mempunyai sebarang hak. Kerajaan negeri berhak mengambil tindakan terhadap pencerobohan yang berlaku. Kita juga tidak mempunyai halangan sekiranya pihak terbabit mahu membawa perkara ini ke mahkamah. Kita sentiasa bersedia,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan pekebun durian mendakwa kerajaan melanggar perintah mahkamah apabila bertindak menebang pokok Musang King di kebun mereka. – UTUSAN