Kerajaan negeri, Pusat diharap pertimbang cadangan bina hospital pakar di Bentong - Mohamad Zaini - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri, Pusat diharap pertimbang cadangan bina hospital pakar di Bentong – Mohamad Zaini

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan negeri dan Pusat diminta mempertimbangkan cadangan membina hospital pakar pertama di daerah ini dan Pahang yang terhenti apabila berlaku perubahan pentadbiran peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU14) lalu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, lokasi untuk membina hospital pakar itu sudah pun tersedia di kawasan seluas 14.164 hektar di Kampung Chinta Manis, Karak di sini.

“Perancangan membina hospital pakar ini sudah lama bermula sejak zaman Ahli Parlimen terdahulu, Tan Sri Liow Tiong Lai lagi. Namun ia terhenti apabila berlaku pertukaran kerajaan selepas PRU14 yang lalu.

“Rakyat dan UMNO Bahagian Bentong begitu mengalu-alukan pembinaan hospital pakar ini yang bukan sahaja demi kemudahan kesihatan rakyat di daerah ini malah Pahang keseluruhannya.

“Kita harap kerajaan negeri memohon pertimbangan kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan pembinaan hospital pakar di Bentong yang lokasinya sudah pun tersedia di Kampung Chinta Manis,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim dilaporkan berkata, Pelan Induk Pembangunan Fasiliti Hospital Negeri Pahang oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah membincangkan cadangan membina hospital gantian bagi Hospital Bentong di tapak baharu.

Razali berkata, cadangan itu dibentangkan kepada Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan dan sudah dipersetujui untuk dilaksanakan mengikut keutamaan yang ditetapkan.

Beliau juga berkata, kerajaan dalam usaha melengkapkan Perkhidmatan Kepakaran Hospital Minor di Hospital Bentong dengan 10 perkhidmatan pakar yang berfungsi sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi menyediakan khidmat rawatan pakar di daerah dan negeri ini sekali gus menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah dari masa ke semasa.

“Difahamkan semua negeri sudah ada sebuah hospital pakar, jadi sampai masanya kemudahan kesihatan ini turut dibina di Pahang khususnya di daerah Bentong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN