PUTRAJAYA: Kerajaan telah mengkaji semula lebih 2,000 daripada keseluruhan 3,000 undang-undang lapuk setakat ini, bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses kajian semula itu memerlukan satu tempoh yang agak panjang kerana ia melibatkan ribuan undang-undang yang sudah lapuk dengan ada sebilangan yang wujud sekitar tahun 1950-an.
Menurutnya, hanya berbaki 164 undang-undang lapuk yang masih lagi belum dikaji buat masa ini.
“Reformasi institusi ini bukan sahaja mereformasi undang-undang, (undang-undang lapuk) itu kita kaji sahaja dulu. Lepas kaji, undang-undang itu akan ‘intertwined’ dengan agensi-agensi lain iaitu kementerian yang bertanggungjawab pada undang-undang tersebut.
“Tapi kalau kita tengok dari segi undang-undang kontrak dengan undang-undang jenayah, itu memang berterusan lah di bawah jawatankuasa Law Revision yang kita buat. Itu pun dalam proses semakan antara undang-undang lapuk dengan undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama warga jabatan dan agensi di sini hari ini.
Pada Ogos 2024, media melaporkan lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula memandangkan terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini.
Seterusnya 23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, undang-undang lapuk perlu dihapuskan kerana ia tidak boleh menangani banyak cabaran baharu yang muncul ketika ini. – UTUSAN