PENDANG: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) merayu agar kerajaan menyelaraskan harga benih padi yang ditetapkan pada RM58 di pintu kilang sejak Mac tahun lepas.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashib Yob berkata, harga tersebut tidak relevan lagi memandangkan harga lantai belian padi ditetapkan pada RM1,500 berbanding RM1,800 sebelum ini.
“Setelah perjumpaan PeSAWAH sendiri dengan menteri pada Februari lepas, kami sudah memaklumkan perkara ini kerana semasa pengilang memohon untuk menaikkan harga benih padi daripada RM45 kepada RM55 sekarang adalah pada harga semasa iaitu harga belian RM1,800.
“Kami rasa tidak munasabah kerana rata-rata petani yang dibeli padi mereka kini pada harga RM1,500. Kami rasa tidak adil kerana pengilang mohon naikkan harga kos selepas penyelarasan harga diesel sebelum ini kami terbeban sebanyak 55 peratus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, harga benih padi itu juga tidak diselaraskan kerana ada petani terpaksa membelinya pada harga mencecah RM70 di sesetengah kawasan.
“Bagi satu hektar petani memerlukan 10 beg benih padi bagi 20 kilogram untuk kaedah tabur terus. Kalau sekarang harga yang dibeli daripada RM55 hingga RM65 malah ada yang sehingga RM70.
“Kalau RM60 satu hektar memerlukan 10 beg, jadi petani terpaksa keluarkan kos sebanyak RM600. Ini membebankan petani, jadi kami minta kerajaan kaji semula,” katanya.
Katanya, kenaikan kos sara hidup yang berterusan dan penghapusan subsidi mengakibatkan pesawah kini berdepan dengan tekanan.
“Keadaan ini meningkatkan kos operasi pertanian secara mendadak, sekali gus menjejaskan pendapatan bersih pesawah. Penurunan harga benih padi adalah langkah penting untuk memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara,” ujarnya.
Seorang petani, Shukri Baharom, 63, berkata, peningkatan harga itu mengakibatkan ada sesetengah petani terpaksa menyimpan sebahagian padi tuaian mereka untuk dijadikan benih.
“Apabila harga benih tinggi, maka petani terpaksa simpan padi sendiri untuk buat benih. Jadi, apabila simpan padi sendiri petani tidak dapat subsidi kerana padi tidak masuk ke kilang. Oleh itu, kami minta subsidi benih dikembalikan kepada petani,” katanya. – UTUSAN