KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan kerajaan paling cemerlang dan bersejarah apabila mendapat hampir 90 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2004.
Bekas perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau melantik Abdullah untuk mengambil alih sebagai Perdana Menteri selepas beliau bersara dan Abdullah telah menjadi seorang Perdana Menteri yang cemerlang dalam sejarah.
“Beliau memimpin pilihan raya pada tahun 2004 dengan kejayaan yang cemerlang dalam sejarah iaitu 90 peratus mengundi untuk kerajaan pimpinannya.
“Itulah kejayaan terbesar beliau,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara hari ini.
Tambah Mahathir, Abdullah tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan ketika pimpinannya menghadapi masalah.
“Oleh sebab itu, prestasinya dalam pilihan raya 2008 tidak begitu baik.
“Beliau tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan apabila kejayaan yang kurang dan ramai orang menuntut supaya beliau letak jawatan.
“Beliau tidak timbul masalah dan letak jawatan seterusnya serah jawatan itu kepada Datuk Seri Najib,” katanya.
Perdana Menteri Keempat dan ketujuh itu hadir ke Masjid Negara bersama dengan isterinya, Tun Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kira-kira pukul 11 pagi.
Beliau meluangkan masa sekitar 10 minit bagi memberi penghormatan dan membaca doa untuk Abdullah yang mesra dikenali sebagai Pak Lah.
Kedua-dua pemimpin itu mempunyai sejarah yang panjang, di mana sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1999 dan Abdullah pula menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pak Lah meninggal dunia pada usia 86 tahun malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. – UTUSAN