KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tarikh iaitu pada 25 Jun ini bagi keputusan kes rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi mengetepikan sabitan serta hukuman atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Tarikh itu dimaklumkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Terdahulu, prosiding itu dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta.
Antara hujahan pihak pembelaan ialah pengeluaran dana Armada berjumlah RM1 juta dibelanjakan bagi program-program kebajikan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi.
Selain itu, bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, bukti-bukti resit menunjukkan Syed Saddiq menggunakan duit miliknya sendiri daripada akaun ASB berjumlah RM170,000 iaitu melebihi sumbangan yang diperolehi RM120,000 daripada orang awam. –UTUSAN