PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tarikh 21 Julai ini bagi keputusan kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Keputusan itu dibuat Hakim, Dr. Syahliza Warnoh selepas pihak pendakwaan memaklumkan menutup kes mereka hari ini.
Mahkamah turut menetapkan tarikh-tarikh lain iaitu hujahan bertulis pada 23 Mei dan hujahan balas pada 6 Jun ini.
“Untuk kes ini mahkamah akan tetapkan tarikh untuk hujahan bertulis dan tarikh keputusan. Bagaimanapun, sekiranya kes dipanggil untuk pembelaan, mahkamah bercadang untuk jalankan sekali gus.
“Mahkamah menetapkan keputusan atau pembelaan (sekiranya dipanggil) pada 21 Julai ini dan bersambung sehingga 24 Julai,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil selain turut menawarkan seramai 23 orang saksi kepada pihak pembelaan.
“Kami tiada lagi saksi lain, dengan ini kami menutup kes pendakwaan. Pihak pendakwaan juga mempunyai beberapa orang saksi untuk ditawarkan kepada pihak pembelaan,” katanya.
Dalam pada itu, peguam bela, Ramzani Idris juga memaklumkan seramai tujuh orang saksi pembelaan akan dikemukakan sekiranya pasangan suami isteri itu dipanggil untuk membela diri.
Sepanjang perbicaraan selama 20 hari bermula 4 Februari lalu, seramai 28 saksi termasuk dua kanak-kanak, tiga pegawai penyiasat dan pengasuh telah dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah.
Kes turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Lavanesh Haresh.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN