KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi bakal menganjurkan satu sesi taklimat khas kepada pengamal media serta unit komunikasi korporat agensi kerajaan berhubung tatacara penggunaan Jalur Gemilang dan lambang rasmi negara.
Langkah itu diambil susulan insiden yang melibatkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang didakwa memaparkan Jalur Gemilang dalam bentuk tidak tepat, sekali gus mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat dan pengguna media sosial.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun siasatan berhubung isu berkenaan masih dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) manakala pihaknya mengambil pendekatan proaktif untuk menganjurkan sesi taklimat khas kepada pemain industri.
“Kemungkinan dalam tempoh dua minggu, kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan-rakan media dan juga unit komunikasi korporat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta agensi-agensi kerajaan.
“Kita mahu pastikan insiden seperti ini tidak berulang,” katanya pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina selepas mengeluarkan cetakan surat khabar yang memaparkan Jalur Gemilang tetapi tidak mempunyai lambang bulan sabit.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, siasatan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa KDN kerana ia melibatkan bahan bercetak, manakala MCMC akan meneliti aspek kandungan versi digital seperti akhbar dalam talian (e-paper).
“Untuk kes ini, ia di bawah KDN kerana melibatkan bahan bercetak iaitu surat khabar. Jadi, ia tidak melibatkan MCMC secara langsung.
“Walaupun akhbar itu ada menerbitkan versi digital, aspek itu turut diteliti oleh pihak MCMC,” jelasnya.
Tambah beliau, penganjuran taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkukuh pemahaman pengamal media terhadap penggunaan simbol rasmi negara, agar sejajar dengan peraturan dan garis panduan sedia ada.
“Langkah ini penting supaya semua pihak memahami batas dan tanggungjawab dalam menyiarkan lambang rasmi negara, sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.
“Semua ini agar selaras dengan garis panduan dan peraturan sedia ada dalam semua bentuk penyiaran, sama ada bercetak mahupun digital,” katanya. – UTUSAN