PETALING JAYA: Yayasan Nasional Prihatin (Prihatin) menyalurkan sumbangan bernilai RM1.5 juta kepada 16,000 penerima dalam siri Kembara Madani Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, pasukannya menjelajah ke 25 lokasi kembara seluruh negara bagi menyalurkan bantuan berkenaan kepada mereka yang memerlukan.
“Selain wang tunai kita juga salurkan barangan keperluan makanan dan pakaian sempena sambutan Syawal.
“Bantuan tahunan ini disalurkan kepada mereka yang memerlukan termasuk anak yatim, gelandangan, pusat tahfiz dan penduduk PPR yang layak di seluruh negara.
“Kami di Yayasan Prihatin berusaha membantu seboleh mungkin mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambah Aizuddin, Yayasan Prihatin juga berkerjasama dengan Yayasan Nurjiwa menyalurkan sumbangan kepada golongan media yang memerlukan sebagai salah satu usaha murni dijalankan membantu meringankan beban rakan media.
Aizuddin berkata, media merupakan golongan yang banyak membantu yayasan itu menyebar luaskan aktiviti dan saluran dana kepada mereka yang memerlukan.
“Saya menyokong dan kami di Yayasan Prihatin sendiri menghargai jasa media yang banyak membantu dan apa salahnya kita hulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
“Ini juga tahun ke empat kami bersama-sama Yayasan Nurjiwa menghulurkan bantuan kepada golongan media,” katanya.
Terdahulu, Yayasan Prihatin turut bersama Yayasan Nurjiwa mengadakan majlis silaturrahim meraikan golongan media, selebriti, anak yatim dan tahfiz dalam satu majlis baru-baru ini.