KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu komen lebih-lebih tentang isu ini. Jika ada gambar keluarkanlah. Saya cabar sebab tahu dia tiada bukti.”
Demikian kata pelakon, Beego yang mencabar isterinya, Linda Hashim untuk mengemukakan bukti berhubung kes keganasan rumah tangga seperti yang didakwa aktres itu.
Sebelum ini, Linda pernah memuat naik foto wajahnya mempunyai kesan lebam yang dipercayai hasil solekan ketika menjalani penggambaran sebuah drama.
Beego bagaimanapun menyifatkan tindakan isterinya itu mengundang persepsi buruk dalam kalangan warganet tatkala mereka sedang berdepan dengan masalah rumah tangga.
“Tindakannya memuat naik gambar muka lebam seakan bermain dengan persepsi orang lain walaupun itu gambar sewaktu menjalani penggambaran drama. Dia tidak perlu provokasi masyarakat dengan perkara itu,” katanya.
Beego berkata demikian usai proses Jawatakankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes perceraian dengan Linda di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Beego mendakwa dia tidak diberi peluang mahupun ruang untuk berbincang dengan Linda semenjak aktres itu meninggalkan rumah kelamin mereka pada Oktober lalu.
“Saya tidak diberi ruang mahupun peluang untuk berbincang. Dia sudah keluar dari rumah selama enam bulan. Saya tidak salahkan dia, mungkin dia mahu ambil masa untuk bertenang. Cuma, saya tak sangka dia ambil masa selama ini.
“Kita faham proses undang-undang. Kita pun tak mendesak tapi kita cuba yang terbaik. Saya faham hubungan itu cuba dijarakkan. Saya nak berhubung dengan dia sebagai suami dan bapa kepada anak-anak.
“Saya suami yang sah lagi tapi tak diberi ruang. Dia cuba elak dan pada masa sama tegas dengan keputusan untuk berpisah,” ujarnya.
Terdahulu, Linda mendakwa pernah menjadi mangsa keganasaran rumah tangga sejak 2016 malah, mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan polis dan hospital berhubung perkara tersebut.
Tegas Linda, dia juga tidak teragak-agak untuk mendedahkan bukti lain berkaitan perkara tersebut jika berlaku provokasi daripada Beego.
Semalam, mahkamah telah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh keputusan laporan JKP berhubung kes perceraian Beego dan Linda. -UTUSAN