Kedah harap tidak tubuh entiti khusus kawal selia REE

Kedah harap tidak tubuh entiti khusus kawal selia REE

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah membangkitkan kebimbangan terhadap khabar angin yang menyatakan Kerajaan Persekutuan bercadang menubuhkan sebuah entiti khusus seperti Petronas bagi mengawal selia sumber unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap khabar angin itu tidak benar kerana tanah dan sumber galian adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurut beliau, negeri-negeri sepatutnya diberi ruang dan kuasa sewajarnya untuk menguruskan hasil bumi mereka sendiri termasuk REE sebagai satu cara menambah hasil dan menampung keperluan pentadbiran negeri.

“Saya dengar khabar angin bahawa Persekutuan mahu tubuh satu badan macam Petronas untuk kawal REE, tapi saya harap benda ini tidak benar.

“Memang ada Majlis Tanah Negara dan pelbagai majlis lain, tapi keputusan di situ perlu dibaca bersama Perlembagaan Persekutuan, khususnya Jadual Kesembilan. Itu yang kadang-kadang menyukarkan pelaksanaan di peringkat negeri.

“Janganlah sampai ikat negeri macam tu. Ini pun salah satu peluang untuk negeri cari hasil. Kalau disekat, ia seolah-olah menganiaya negeri-negeri. Tapi saya tekankan, ini semua cuma khabar angin. Saya harap ia tidak benar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini belum ada prosedur operasi standard (SOP) khusus yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkaitan pelaksanaan perlombongan REE secara menyeluruh.

Sementara itu, kerajaan Kedah menyambut baik kesediaan China untuk berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan Malaysia dan menyarankan agar proses nilai tambah dilakukan di dalam negara berbanding mengeksport bahan mentah ke luar.

Katanya, pemindahan teknologi serta pembinaan kilang pemprosesan di negara ini khususnya di Kedah mampu membawa limpahan ekonomi dan pembangunan industri hiliran yang lebih mampan.

“Kalau teknologi itu bagus, kita alu-alukan saintis-saintis China datang ke sini, buka kilang dan proses bahan di sini. Tak perlu kita eksport secara mentah. Bila hiliran berlaku di sini, akan wujud peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya