SUBANG JAYA: Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini berjaya dipadam sepenuhnya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang yang melibatkan seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi dalam operasi pemadaman dan menyelamat.
Menurutnya, sebanyak 237 premis serta kediaman terjejas dalam kejadian terbabit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 88 unit bangunan yang terdiri daripada 78 unit rumah dan 10 unit premis kedai telah terbakar.
“Kategori kebakaran rumah antara 10 hingga 90 peratus dan punca insiden terbabit masih dalam siasatan.
“Secara keseluruhan, 305 mangsa dengan majoriti mangsa yang cedera akibat melecur dan tersedut haba panas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Beliau berkata, sebanyak 390 kenderaan terjejas membabitkan 265 kereta, 57 motosikal, bas (3), van (6) dan sebuah lori.
Jelasnya, hasil pemantauan selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang mendapati tiada aliran gas di kenal pasti.
“Keadaan itu menjadikan kemungkinan berlakunya letupan susulan adalah sangat rendah dan memudahkan pasukan penyiasat bomba untuk masuk bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Penduduk boleh masuk ke kediaman mereka dengan pemantauan pihak berkuasa untuk mengambil barang atau haiwan peliharaan mereka.
“Ketika ini tiada bekalan elektrik di sekitar di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, seramai 35 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia ditugaskan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Kerja pembersihan dan pemeriksaan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam ini,” katanya. – UTUSAN