PETALING JAYA: Seramai 112 mangsa yang menduduki 49 rumah terjejas akibat kejadian kebakaran membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, dekat sini hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, jumlah mangsa itu membabitkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dekat sini, yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati semua mangsa yang terlibat membabitkan 37 kediaman di Taman Harmoni dan 12 lagi membabitkan premis di Kampung Kuala Baru.
“Kebanyakan mangsa cedera iaitu luka di bahagian kaki dan sesak nafas. Ada mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Ditanya dakwaan terdapat kematian dalam kejadian itu, Nor Hisham berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di semua rumah terlibat dan tiada kematian.
“Bagaimanapun, kita akan buat pemeriksaan kali kedua bagi memastikan tiada mangsa terperangkap atau mengesan sekiranya ada elemen kebakaran.
“Justeru, kita menyeru sekiranya orang ramai mempunyai maklumat atau terdapat ahli keluarga yang tinggal di lokasi kejadian yang gagal dihubungi untuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN